Contoh Karangan

Salam semua student kesayangan..kali ni cikgu  post beberapa tajuk karangan  hasil  yang mungkin  dapat membantu  anda semua.Cikgu akan sentiasa update  dan mencari ruang2 di celah2 kesibukan  n mg anda semua rajin2 la tgk ya. :)

FAEDAH MEMPUNYAI RAMAI RAKAN

 “berkasih biar satu, berkawan biar seribu”. ini jelas menunjukkan bahawa kita digalakkan berkawan dengan seberapa  ramai  yang mungkin. Apabila kita mempunyai ramai  kawan, hidup kita tidaklah menjadi seperti katak di bawah tempurung atau sebatang kara..Orang yang tidak mempunyai ramai kawan atau tidak suka berkawan, mereka akan dikatakan sebagai kera sumbang. Sebenarnya, banyak faedah yang akan kita peroleh jika kita mempunyai ramai kawan

Kita akan mendapat pelbagai maklumat. Jika kita akan menghadapi peperiksaan, kita boleh bertukar-tukar maklumat tentang mata pelajaran yang kita pelajari. Sebagai contohnya, kita boleh bertukar-tukar  nota,kertas soalan peperiksaan percubaan atau soalan peperiksaan ujian bulanan .Melalui cara ini, maklumat yang akan kita peroleh bertambah .

Bukan itu sahaja, kita dapat teman untuk belajar dan mengulangkaji pelajaran. Sesungguhnya, pembelajaran secara kumpulan membolehkan kita belajar dengan lebih baik.Kita tidak cepat bosan.Kita juga dapat saling membantu dalam pelajaran. Contohnya, jika kita mengetahui tentang tajuk yang dibincangkan kita dapat membantu rakan. Sebaliknya, jika kita kurang memahami sesuatu tajuk pelajaran rakan kita yang mahir dapat membantu kita.

kita  juga dapat teman untuk berbual.Kita berbual tentang pelbagai perkara yang berlaku di sekeliling kita.Dengan berbual kita dapat membuang rasa bosan dan sunyi.Selain itu,perbualan dengan rakan juga membolehkan kita menambahkan pengetahuan  dan berita atau maklumat  tentang sesuatu perkara.

Selain itu,kita juga perlukan kawan untuk bermain atau beriadah bersama..Biasanya pada waktu petang,kita akan mencari kawan untuk bermain bersama-sama kita seperti bermain bola sepak,congkak,badminton,berjoging dan sebagainya.Di samping menyihatkan badan kita,hubungan dengan rakan kita makin erat.

kita dapat meminta pertolongan apabila kita menghadapi sesuatu masalah.Kita boleh meminta bantuan daripada rakan, apabila berlaku perkara yang tidak diingini seperti kita kehilangan wang, ditimpa kemalangan atau sebagainya. Kita juga boleh meminta rakan memaklumkan kepada guru apabila kita tidak dapat hadir ke sekolah. Sebagai rakan yang baik, kita juga mesti menolong rakan yang menghadapi masalah.

Selain itu, kawan yang ramai  akan meningkatkan hubungan silaturahim. Apabila kita berkawan dengan ramai orang, hubungan kita dalam masyarakat sangat baik dan mesra. Sebagai contohnya, kita hendaklah berkawan dengan semua pelajar, guru, kakitangan sekolah, dan sebagainya.Apabila kita berkawan, kita akan dapat meningkatkan hubungan silaturahim selain kita dapat mengetahui pelbagai ragam manusia kerana banyak udang banyak garam banyak orang banyak ragamnya.

Harapan saya,kita perlu sentiasa berusaha untuk berkawan dengan sesiapa sahaja di sekolah atau di luar sekolah. Namun demikian, kita hendaklah berhati-hati, kawan yang baik akan membawa kita ke syurga, manakala kawan yang jahat akan membawa kita ke neraka ,jadi pandai-padailah kita untuk membuat pilihan antara intan dengan kaca. 



CARA-CARA MEMBALAS JASA GURU

           Guru ialah insan yang mengajar kita  mengenal huruf,membaca, menulis dan mengira. Ilmu yang diberikan tidak terbatas dalam bidang pendidikan sahaja, malahan merangkumi keperibadian seseorang. Justeru itu sewajarnyalah sebagai manusia  perlu  mengenang budi dan menghargai  jasa mereka .

            Cara terbaik untuk membalas jasa dan pengorbanan guru adalah dengan belajar bersungguh-sungguh. Di sekolah, kita hendaklah tekun mendengar ajaran guru dan janganlah mengamalkan sikap acuh tak acuh semasa proses pengajaran sedang dijalankan. sikap sebegini menyebabkan kita juga yang mengalami kerugian.Tumpuan kepada pengajaran guru menunjukkan rasa hormat dan membantu kita memahami dengan jelas apa yang diajar.

            Selain itu, kita perlu menghormati mereka seperti kita menghormati ibu bapa kita. Apabila berbicara dengan mereka, gunakanlah kata-kata yang manis dan penuh budi bahasa. Janganlah bersikap berat tulang untuk menawarkan bantuan kepada mereka seperti mengangkat buku  atau  membersihkan kelas.

            Apabila sudah berjaya, jangan sesekali melupakan jasa guru kita. Jangan jadi seperti kacang lupakan kulit.Jika ada kesempatan, kirimkanlah kad kepada mereka terutamanya pada Hari Guru. Malahan jika berpeluang kunjungilah mereka untuk bertanyakan khabar.

            Akhir sekali, hadiah paling bermakna bagi membalas jasa guru ialah dengan menjadi murid yang berjaya dan cemerlang dalam bidang akademik serta menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.Guru pasti banggga jika anak didiknya menjadi insan berguna.


Harapan saya,sayangi dan hargailah jasa guru kita.



 LAPORAN  LAWATAN  SAMBIL BELAJAR  kE PAMERAN  BUKU
Pada hari Sabtu 29 Februari 2013 yang lalu, Persatuan Bahasa Malaysia, Sekolah Kebangsaan Sri Mawar, Kuala Terengganu  telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pameran buku, di Dewan Pusat Dagangan Terengganu. Lawatan ini disertai oleh 30 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat.

Tujuan utama  lawatan ini diadakan  adalah untuk melihat dan memilih  buku-buku bermutu yang sesuai dibeli oleh murid.Selain  itu murid juga dapat menambah pengalaman semasa mengikuti  lawatan sambil belajar.Di samping itu juga,murid berpeluang membeli buku-buku dengan harga promosi.


Kami berangkat dengan menaiki bas dari sekolah pada pukul 8 pagi dan  tiba di Dewan Pusat Dagangan Terengganu  setengah jam kemudian. Tempat pertama yang menjadi destinasi kami adalah sudut pameran buku terbaharu. Semasa berada di bahagian ini, kami berpeluang melihat berbagai-bagai jenis buku yang dikeluarkan oleh DBP dan syarikat penerbitan buku yang lain.

Selepas itu, kami menuju ke setiap gerai buku yang disediakan.Di situ terdapat penerbit yang mempamerkan dan mempromosikan buku daripada syarikat masing-masing.Kami meluangkan masa untuk melihat dan membelek-belek buku yang dipamerkan di setiap gerai.Selain gerai buku,terdapat juga gerai menjual makanan dan minuman  serta cendarahati.Kami sempat membeli buku-buku rujukan  dan latihan serta cenderamata untuk ahli keluarga.

Pada pagi tu,kami juga berpeluang menyertai pertandingan kuiz  yang dianjurkan oleh pihak penganjur.Saya dan beberapa orang kawan saya telah memenangi hadiah yang ditawarkan .Kami sangat gembira.Suasana di pameran buku sangat meriah .Selain kami,ramai pelajar dari sekolah lain juga turut ke pameran tersebut.


Sesungguhnya pameran buku kali ini amat berbeza dengan pameran buku yang pernah dianjurkan sebelum ini..Pameran kali ini lebih meriah dan lebih banyak buku yang dipamerkan.Oleh itu lawatan ini memberi pengetahuan dan dapat menambahkan pengalaman kepada semua ahli.  Harapan kami agar lebih ramai murid di sekolah ini akan menyertai lawatan sambil belajar pada masa depan.



Laporan disediakan oleh,                                       2  Mac 2012.



………………………………
(MUQRI MUHAIMIN MAZRI)
Setiausaha, Persatuan Bahasa Malaysia,
Sekolah Kebangsaan Sri Mawar.



 FAEDAH-FAEDAH MEMANFAATKAN PERPUSTAKAAN

Semua sekolah  pasti ada  kemudahan perpustakaan. Perpustakaan  merupakan sebuah tempat  yang menempatkan  buku-buku dan menyediakan kemudahan  kepada  pelajar.

Perpustakaan  merupakan gedung ilmu.Di perpustakaan terdapat banyak buku seperti buku cerita, novel, majalah, buku rencana ,buku-buku rujukan dan  lain-lain lagi. Dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran.Membaca itu jambatan ilmu.

Murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan terhindar  daripada bergaul dengan kacang hantu dan  gejala yang tidak sihat seperti melepak, bermain-main  dan membuang masa.Contohnya,pada masa rehat,murid dapat ke perpustakaan apabila selesai makan.Masa terluang tersebut dapat murid isi dengan membaca buku atau surat khabar  sementara menunggu  waktu pembelajaran seterusnya.

Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan berbuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

Selain membaca buku,murid-murid juga dapat meminjam buku –buku seperti buku cerita atau buku rujukan.Buku-buku yang dipinjam boleh dibaca dirumah  pada masa lapang  atau  sebagai bahan rujukan  untuk belajar.Jadi , tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Ini tentu dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid.Wang yang diperuntukkan untuk membeli buku-buku tersebut dapat digunakan untuk membeli keperluan sekolah yang lain.

Di perpustakaan juga,murid dapat belajar,membuat  rujukan   dan membuat ulangkaji dengan lebih tenang dan seronok .Ini kerana,di perpustakaan terdapat peraturan-peraturan seperti dilarang berbuat bising,menjaga disiplin  semasa di situ.Terdapat sudut perbincangan ,sudut melayari internet dan sebagainya.Murid juga dapat merujuk guru  atau petugas  di perpustakaan jika  perlukan bimbingan.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, menfaatkanlah perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran.



SAMBUTAN HARI GURU
Tanggal  16 Mei  setiap tahun,kita akan meraikan Hari Guru di sekolah.Sekolah saya juga telah mengadakan sambutan Hari Guru sebagai acara tahunan setiap 16 Mei. Tujuan sambutan ini adalah untuk mengingati dan menghargai  jasa guru yang telah mendidik anak bangsa  dengan penuh dedikasi untuk  menyampaikan ilmu.

Sejak awal pagi, semua murid, guru  dan ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru telah berkumpul di dewan sekolah. Dewan sekolah telah dihias dengan  bunga dan belon-belon yang cantik. Kain rentang yang digantung  menghiasi dewan dengan kata penghargaan untuk  warga pendidik.Para hadirin mengambil tempat duduk masing-masing di dalam dewan sebelum majlis bermula.

Majlis bermula tepat pada pukul 8.00 pagi dengan bacaan doa. Selepas itu, juruacara menjemput  ketua murid,wakil guru,YDP PIBG  untuk menyampaikan ucapan.Ucapan diakhiri oleh  Guru Besar ,Tuan Haji Dagang bin Hamzah  seterusnya merasmikan sambutan Hari Guru pada hari itu.

Setelah acara dewan,aktiviti diteruskan dengan acara sukaneka dan permainan   yang melibatkan guru,murid dan ibu bapa.Acara yang dipertandingkan ialah isi air dalam botol,lempar gelung rotan, tarik tali,menjaring bola,bola jaring dan bola sepak.Permainan berlangsung dengan meriah  sekali.

 Seterusnya, persembahan koir, nyanyian , tarian dan deklamasi sajak  yang dipersembahkan oleh murid-murid dijalankan sebaik waktu rehat tamat. Para tetamu terhibur dengan persembahan yang menarik ini.  Majlis diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah kepada pemenang dalam acara sukaneka dan permainan. Di samping itu, sijil juga disampaikan kepada guru cemerlang. Wakil murid daripada setiap kelas juga memberi bunga kepada setiap guru sebagai tanda penghargaan.

Sebelum acara berakhir,semua murid mengambil peluang menyampaikan kad ucapan,cenderahati kepada para  guru sebagai  penghargaan dan ucapan terima kasih mereka.Selepas itu,semua hadirin dijemput untuk menikmati jamuan  yang telah  disediakan oleh pihak  sekolah dan ibu bapa. Semua makanan yang disediakan sedap-sedap belaka.

 Menjelang pukul 2.00 petang, majlis bersurai. Saya berasa penat tetapi gembira. Kita perlulah mengingati jasa guru dan membalas jasa guru.

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam   di dalam paya,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang  selamanya.